Iklan

Saturday, 5 July 2008

Sampai mati tak dapat jumpa ayah

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengutuk sikap tidak perikemanusiaan kerajaan kerana melewatkan tahanan Internal Security Act (ISA) menziarahi anaknya yang nazak, sehingga meninggal dunia tanpa kehadiran ayahanda di sisinya. Ini merujuk kepada Shahrial Sirin, tahanan tanpa siasatan ISA tujuh tahun, yang tidak bersama anaknya, Siti Fatma yang nazak.

Siti Fatma, anak kandung beliau, terjatuh di rumah lalu menyebabkan beliau koma, dan nazak di hospital Kajang tanpa kehadiran ayahanda tersayang. Ayah beliau, Sharial Sirin, telah ditahan ISA di Kamunting sejak tujuh tahun lalu, dilewat- lewatkan proses kebenarannya untuk menziarahi anak perempuannya yang nazak. Malah, yang lebih syahdu ialah, anakanda beliau meninggal tanpa kehadiran beliau.

PKPIM mengutuk sikap Kerajaan melalui Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Penjara Kamunting kerana tidak berperikemanusiaan dalam situasi yang genting ini. Sikap mereka terlalu birokrasi dan melewatkan proses kebenaran, menyebabkan ayahanda beliau tidak sempat menziarahi di hospital. Apakah mereka tidak mempunyai anak atau ayah yang perlu diziarahi ketika nazak atau meninggal? Apakah mereka tidak ada nilai kemanusiaan langsung? Apakah mereka tidak pernah merasai nadi denyutan kesusahan dan keperitan rakyat biasa?


Ini lagi satu sikap sombong dan salah kuasa yang terus menjadi amalan Kerajaan. Jika ini terus berlanjutan, tidak mustahil kebencian dan kemarahan rakyat biasa yang diterjemahkan 8 Mac lalu akan terus berpanjangan. Kerajaan harus muhasabah dan menginsafi bahawa sikap sombong dan salah kuasa inilah yang menyebabkan kekalahan besar mereka dalam Pilihanraya Umum 8 Mac lalu.



PKPIM menegaskan bahawa;


1) Kerajaan harus memohon maaf kepada keluarga Sharial Sirin, kerana sikap tidak profesional dan tidak perikemanusiaan dalam situasi nazak dan meninggal dunia, dan membayar pampasan akibat kezaliman Kerajaan.

2) Kerajaan harus membebaskan Sharial Sirin, dan semua tahanan ISA yang ditahan di Kamunting, supaya keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.

3) Kerajaan harus tidak menyalahgunakan ISA untuk kepentingan kepartian, tetapi tahan mereka yang benar- benar memberi ancaman kepada negara.

4) Masyarakat harus memberi tekanan berterusan kepada Kerajaan supaya membebaskan semua tahanan ISA dan tidak menyalahgunakan ISA.

PKPIM akan terus mempertahankan hak rakyat biasa yang dizalimi. Kebenaran dan keadilan mesti ditegakkan.



MOHD HILMI RAMLI

Presiden

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Anjung Rahmat

Bt 6 Jalan Gombak

53100 Kuala Lumpur

Adv