Iklan
Sunday, 20 January 2008
Pakar motivasi SEWEL???
Ibu buat pendedahan
KUALA LUMPUR: Tembelang seorang pakar motivasi yang dianggap baik, lemah lembut dan kerap menerima pujian kerana ceramahnya yang ‘menusuk kalbu’ akhirnya pecah apabila dia didakwa menggilai seorang gadis berusia pertengahan 20-an sehingga mengabaikan isteri dan empat anaknya.
Biarpun gadis itu hanya menganggapnya sebagai rakan, tindak tanduk pakar motivasi berusia 40-an itu mirip orang tidak siuman apabila sanggup tidur di dalam kereta, berlegar-legar di sekitar kediaman gadis terbabit dan mengekori walau ke mana dia pergi.
Paling menakutkan, pakar motivasi sewel itu juga bersikap ganas dengan memukul dan mengacukan senjata tajam kepada gadis berkenaan jika ada tindakannya tidak disukai.
Sikap melampau pakar motivasi itu didedahkan ibu gadis terbabit yang buntu mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan sehingga berdepan trauma ketika berjauhan dengan anaknya.
Ibu gadis itu yang mahu dikenali sebagai Maria, 40, berkata masalah dihadapi keluarganya berlanjutan sehingga enam tahun dan dia puas berikhtiar supaya pakar motivasi terbabit menjauhkan diri daripada anaknya, tetapi tidak berjaya.
Katanya, seumur hidup dia tidak pernah jumpa orang yang berperangai seperti itu.
“Jika anak saya ada di rumah, akan muncul kelibat dia berlegar-legar di depan rumah dengan keretanya. Lebih teruk, dia sanggup tidur di dalam kereta semata-mata mahu mengintip gerak geri anak saya.
“Paling membuatkan saya geram, jika kami sekeluarga bercuti di dalam negara, dia turut mengekori kami, biarpun terpaksa mengharungi perjalanan jauh. Jika kami bercuti selama tiga hari, sepanjang tempoh itu dia duduk di lokasi berhampiran dan memerhati gerak geri kami hingga membuatkan kami rimas,” katanya.
Menurut Maria, dia bertambah bimbang kerana pakar motivasi itu pernah melakukan perbuatan di luar batasan apabila sanggup memukul dan mengacu senjata tajam kepada anaknya.
“Punca kepada pelakuan gila itu hanya kerana anak saya mahu pulang ke kolejnya bersama rakan. Bagaimanapun, pakar motivasi itu mendesak anak saya supaya pulang ke kolej bersamanya.
“Akibatnya, sepanjang jalan, anak saya dipukul sehingga lebam di pipi dan badan. Malah, lebih menakutkan, anak saya turut diacu senjata tajam,” katanya.
Maria berkata, selepas menerima aduan daripada anaknya, dia nekad membuat laporan polis, tetapi tidak jadi berbuat demikian selepas terpengaruh dengan ‘sandiwara’ pakar motivasi itu.
“Dia memeluk kaki saya dan anak saya. Dengan muka menyedihkan, dia memberi hujah mengapa dia bertindak demikian. Kelebihannya sebagai pakar motivasi membuatkan saya ‘cair’ dan tidak jadi membuat laporan polis,” katanya.
Menurut Maria, sepanjang enam tahun, selain bimbang dengan keselamatan anaknya, dia berendam air mata melihat gelagat anaknya yang terlampau takut dengan pakar motivasi itu.
“Jika pakar motivasi itu menghubunginya menerusi telefon bimbit, dia segera mengangkatnya, kerana jika lambat, pakar motivasi itu akan syak yang bukan-bukan.
“Kadangkala jika telefon berbunyi ketika dia di dalam tandas, pakar motivasi itu menuduh dia keluar dengan lelaki lain. Kerana takut, saya terpaksa menjadi saksi mengatakan memang benar anak saya di dalam tandas,” katanya.
Maria berkata, pakar motivasi itu mahu mengahwini anaknya, tetapi anaknya tidak mahu kerana sedar masa depannya gelap jika berbuat demikian.
“Anak saya hanya menganggap pakar motivasi itu sebagai kawan ketika mula mengenalinya enam tahun lalu. Ketika itu anak saya mengikuti ceramah motivasi yang diberi pakar motivasi berkenaan. Biasalah, sudah namanya remaja, anak saya dan beberapa rakannya menghubungi semula pakar motivasi itu, bagaimanapun anak saya pula yang menjadi perhatiannya,” katanya.
Menurut Maria, pakar motivasi itu pada mulanya mengaku bujang, tetapi dengan faktor usia dan penampilannya, statusnya dicurigai.
“Pada mulanya saya tidak menghalang anak saya berkawan dengan pakar motivasi itu kerana beranggapan pakar motivasi memang orang baik dan mampu membantu menerapkan nilai positif terhadap anak saya.
“Bagaimanapun, pandangan saya terhadap pakar motivasi itu berubah apabila mendapat maklumat dia sebenarnya berkahwin dan ada empat anak. Maklumat yang saya terima itu ternyata benar apabila secara tidak sengaja saya menjawab panggilan telefon isteri pakar motivasi terbabit daripada telefon bimbit anak saya,” katanya.
Maria berkata, berdasarkan perbualan itu, isteri pakar motivasi terbabit mendedahkan perangai ‘setan’ suaminya.
“Isteri pakar motivasi itu memang terseksa. Dia mengakui dipinggirkan dan puas menerima sepak tendang suami.
“Akhirnya pakar motivasi itu mengakui dia beristeri dan ada anak, tetapi tetap mahu menjadikan anak saya sebagai isterinya kerana isterinya tidak cantik,” katanya.
Menurut Maria, anaknya yang kini menuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) belajar dalam keadaan tertekan, tetapi kerana mahu menjauhkan diri dari pakar motivasi itu, dia bertekad melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Hanya itu jalan yang dia nampak dapat memutuskan hubungannya dengan pakar motivasi terbabit. Alhamdulillah, walaupun tertekan, dia mampu cemerlang dalam pelajaran dan dia di landasan betul untuk melanjutkan pelajaran di luar negara,” katanya.
Ditanya mengapa tidak membuat laporan polis atau memohon perintah mahkamah supaya anaknya tidak diganggu, Maria berkata, dia kasihan dengan pakar motivasi itu.
“Jika saya berbuat demikian, pasti maruahnya tercalar dan kariernya tergugat. Saya tidak mahu itu berlaku kerana apabila menjalankan tugasnya sebagai pakar motivasi, dia benar-benar profesional.
“Jika mengadakan ceramah, terutama kepada pelajar sekolah, ramai pelajar, terutama yang bermasalah, sedar kesilapan masing-masing dan berjanji untuk berubah. Ibu bapa pula memuji cara dan gayanya kerana mampu menarik perhatian,” katanya.